Wednesday 13 March 2013

Kekerasan Bukan Pilihan (Perempuan)

Aku memburu kata-kata di hutan tanah kasih sayang
aku tak memasang jerat dan mencederakanmu
apalagi mematahkan sayapmu.

Aku melihat pemburu dilengkapi
dengan senjata tajam dan membunuh
Suara rimba berguman sampai ke
pinggir kota. Siapakah yang akan
menjadi mangsa?

Aku memanggilmu
dengan suara lembut dan kasih sayang
tak pernah aku datang dan memaksamu.
Tak pula akau menjanjikan sebesar
gunung yang puncaknya mencercah
lantai langit.

Kata-kata yang turun ke lapangan
menjadi bait-bait yang mengundangmu
bukan sekali. Kerana aku tak akan pernah
bosan memanggilmu.

Ketika kau memberikan aku senjata
di gelanggang terbuka, aku melangkah
sumbang dan perlu merecik dari dahi
dan dada. Aku pasrah kerana kekerasan
memang bukan senjataku.

Dengan kata-kata sederhana
terucap dari sukma yang sedar
aku memanggilmu sampai
menjelang senja .

Tiada apa-apa, hanya kata-kata
bait demi bait. Terpulanglah kau
menafsirkannya. Aku telah melakukan
sekadarnya.

Kota Kinabalu
14 March 2013
*Antologi Kemerdekaan

No comments:

Post a Comment