Saturday 9 March 2013

Maaf Aku Tak Mengenalmu (ATOT)

Namamu pun baru sekarang aku membacanya
Wajahmu samasekali tak pernah terbayang
apa lagi suaramu, dari kepulauan masa silam.
Langkahmu bukan langkah panglima, pun bukan
pemimpin yang agung dan bistari. Aku melihatmu
seperti burung patah sayap. Nahkoda yang patah
kemudi dan lupa pada pelabuhan yang dituju.
Melihat fotomu membakar kemeyan seperti
membuat jampi sarana, kau sebenarnya ketinggalan
sebelum perlumbaan mula. Bagaimana kau
mengirim penceroboh mendatangi pantai negeriku.
Mereka bukan tentera yang bermaruah dan ber-
martabat tinggi. Ketika membunuh musuh, mayatnya
seperti dendam Hind bte Ubah terhadap Hamzah.
Mereka adalah lasykar-lasykar silam memakai
tangkal dan 'kebal'.

Suatu senja, kau datang berombongan, terbang
dari gua silam mencari untung di tanah seberang.
Menjelang siang semuanya tak pulang kerana
di jalan pulang ribut dan panah petir mengoyak
sayapnya. Lalu mereka jatuh satu persatu ke dalam
laut yang luas. Impian mereka terlucut dan maut
mengintai mereka di hutan ladang kelapa sawit.
Ketika perang meletus, kecil dan besar akan
meninggalkan balu dan anak-anak tersayang.
Berkatalah isteri,'Pemergianmu tetap Allah
redhai. Kau adalah lambang maruah dan martabat
bangsa. Di bumimu, Sabah, suamiku gugur
sebagai bunga bangsa.' 'Yang ada padaku sekarang
anak lelaki, kalau ini juga yang diinginkan
ibu pertiwi, sebagai isteri aku rela demi bangsa
dan negaraku.'

Bagaimana aku harus tenang kalau aku tidak
melihat mereka dari kandangnya berdiri dan
berucap, keselamatan negara ini adalah tanggung-
jawab kita bersama tanpa dicampur aduk dengan
politik. Mengapa tidak memberikan komentar
apa lagi menyatakan kebersamaan membenteras
musuh? Keselamatan bangsa dan negara tidak
ada tolak ansur. Aku anak bangsa merdeka akan
berada di depan dengan kekuatan upaya dan taat
setia. Bicaraku, bicara dari sukma dan disampaikan
dalam bahasa sederhana. Kalau kau mengerti
pesan ini, mari, kita bahu-membahu berdiri
mempertahankan bangsa dan negara.

Kota Kinabalu
10  March 2013

*Malam OPS Daulat, IPS di DBP, KK, 17 March 2013.
*Antologi Tanduo Oh Tanduo! diselenggarakan oleh Talib Samat dan Ghazali Din, Penerbit Mentari, 2013.











No comments:

Post a Comment