Wednesday 13 March 2013

Isteri Yang Berkabung*(ATOT)

Aku menerima khabar tentang berpulangnya
seorang wira, seorang suami, seorang aba
sesaat kesedihan itu bagai menerkam dada
dan kerongkongan. Sekalipun kucuba
menahannya tapi air hening mengalir dari
mata menuruni pipi.

Aku menarik nafas panjang, sedalam lautan
samudera. Fikiranku melayang jauh ketika
tersedar aku mencari dahan untuk hinggap
bermenung sendiri.

Kedua anak telah kusampaikan berita itu.
Malam seperti pendengar yang baik
aku mulai doa-doa yang meluncur dari
lidah dan terucap, mengalir dari sukma
penyataan yang ikhlas dan sabar.

Anak-anak tak bertanya  banyak
kami menerima dan pasrah.Pengorbananmu
memang besar buat kami. Kau adalah
lambang perjuang yang tak mudah
menyerah. Lebih baik mati dari jadi
bangsa yang dibelenggu di tangan
penceroboh.

Doaku akan terus berlanjutan seperti
air terjun dari gunung Kinabalu.
Tulang belakang kami adalah banjaran
Crocker yang tak mungkin dapat kau
patahkan. Anak-anakku akan melahirkan
anak dan anak itu melahirkan anak,
seratus tahun terus ke ratusan dan ribuan
tahun. Dan anak-anak itu akan kupersembahkan
di barisan depan melindungi tanah kasih
sayang ini. Kalau semangat penceroboh itu
melintasi sempadan. Tapi semangat anak
bangsa ini sampai ke langit ke tujuh dan
jauh ke dalam galaksi.

Aku isterimu, aku telah siap menerima ini
memang aku merindukanmu dan kesunyian
ini kerana teringat segala kebaikanmu. Memang
kau seorang lelaki satria, penyayang dan
semangat hidupmu kini tumbuh dalam
sukma anak-anakmu dan di dalam diri ini.

Kau seorang sederhana dan jiwamu besar.
Kau adalah anak bangsa merdeka gugur
di medan juang. Mereka telah melepaskan
berapa das tembakan tanda penghormatan
kepadamu. Negara berkabung. Kerana
keberanian dan  jiwa pembela, di bumi
pertiwi kau gugur, kau akan diingat
sebagai syahid dan bunga bangsa yang
harum dan mewangi.

Kota Kinabalu
14 March 2013

*Malam OPS Daulat, IPS di DBP, KK, 17 March 2013.
*Antologi Tanduo Oh Tanduo! diselenggarakan oleh Talib Samad dan Ghazali Din, Penerbit Mentari, 2013.







No comments:

Post a Comment