Saturday 2 March 2013

Hujan Di Hutan Ladangmu, Tenang di Lautan (Suasana)*

Ia minum segelas kopi hitam
sambil mengunyah tompeh
mendung berpindah dari pergunungan
mencair menjadi hujan di hutan ladang sawit.

Nelayan menyisip mimpinya di bawah
tikar mengkuang. Malam ini, ia menundah
turun ke syurga lautnya. Sedang laut
tenang dan rembulan bersembunyi dalam
kegelapan malam.

Tidur gelisah, matanya memandang laut
lepas tanpa berkelip. Di pojokan isterinya
telah lama tidur berkeruh. Sedang anak-anaknya
bergelimpangan seperti panas bumi di waktu
malam.

Turun dan berkayuh ke laut adalah ketenangan
dan sukmanya terhibur. Ke mana ia pergi,
masih ia dambakan laut. Kerana di situ adalah
segala-galanya. Rahsia yang tak akan tersingkap
sampai hari-hari kiamat mendatang.

Kocak air dan bunyi riak-riak ombak kecil
menyentuh perahunya dan mencium bau lautan
dan dalam keluasan langit dan samudera lautan
ia merasa bagai titik dalam bulatan.

Ia tetap cinta pada laut malam dan tak pernah ia
merasa dikhianati atau dipinggirkan. Ia telah
membaca nafas lautan dan nadi langit. Ribut tofan
dan gelombang tak pernah ia berduka panjang.
Kerana laut, langit, malam dan pusar angin telah
menyerap ke dalam sukmanya, menjadi satu.

Sekarang ia tersiksa sekalipun perpisahan
dengan lautnya walau hanya sebentar. Seharian
ia gundah sekalipun ia telah mendengar berita
itu. Di bawah bumbung atap nipah dan tikar
mengkuang ia baring melayah.

Kota Kinabalu
3 March 2013














No comments:

Post a Comment