Wednesday 13 March 2013

Menantang Mata Musuh Berdepan (Kemerdekaan)

Aku melihatmu tiada cinta dan kasih sayang
sinar mata pun penuh dengan kebencian dan dendam
Demi Tuhan kau tak akan berjaya dalam siasahmu
di malam gelap. Tiap langkah dan gerakmu, aku
tiada melihat wujudnya Tuhan dalam dirimu
apa lagi mengangkat martabat manusia 
Kejahatanmu telah melampau, kau membunuh
dan mencincang dan memotong mayat
jangan sekali kau merasa sastria dan angkuh
sedikit pun tidak akan merubah keadaan
kau penceroboh dan kami, wira berjuang
demi bangsa dan negara tercinta.

Aku melihat sejarah bangsa maju ke depan
kegemilangan kami kerana kami sedar
Tuhan melihat perbuatan dan tingkah kami.
Keadilan dan kebenaran itu adalah sumber
kedamaian sukma. Selamanya tak akan
padam. Jangan sekali-kali cuba menakutkan
kami. Kezaliman dan penderaan mayat para
syahid itu tak akan hati kami terbuyuk dan
tunduk kepadamu. Malah kami akan berderap
ke depan tanpa dipanggil, melindungi
kemerdekaan dan martabat bangsa bermaruah.

Ini adalah hak kami yang tak boleh dijual beli
kami akan mempertahankan dari satu generasi
ke generasi akan datang. Kau tak akan dapat
menandingi semangat besi baja dan pengorbanan
anak bangsa sampai ke nafas penghabisan.
Tumbang satu, seratus siap ke medan. Akhirnya
kau akan mati akal dan terpuruk dalam ketololan
dan kebodohanmu sendiri.

Waktumu telah habis dan kesabaran kami telah
tipis. Kau akan melihat dengan kepalamu sendiri
samudera lautan akan bergolak mendekatimu,
halilintar dari langit akan memanah tepat ke
jantungmu dan kau terbakar hanggus, di tanah
pribumi ini, hutan jati, Kinabalu, banjaran Crocker
dan sungai akan mengepungmu dan menghirup
nafasmu sampai habis.

Kami adalah pemuda bangsa, jangan kau melampau
dan melangkahi sempadan bumi anak bangsa ini,
kalau kau cinta pada kedamaian dan manusia sejagat.
Ketahyulan dan langkah sumbangmu tak akan
membawamu jauh. Kau akan menyesal dan menderita
sepanjang kurun. Hidup anak bangsaku, bangsa Malaysia
merdeka.

Kota Kinabalu
13 March 2013













No comments:

Post a Comment