Sunday 24 March 2013

Mak Tua Membersihkan Bilis (Mama)


Tiap petang Mak Tua
duduk di atas lantai membuang
kepala ikan bilis dan perutnya.
Di depannya selonggok bilis
di atas surat khabar tua. Diam
dan sabar, Mak Tua membersihkan
bilis lalu masukkan ke dalam berkas.

Kepenatan kelihatan anak mata Mak Tua
tapi kehidupan ini tak boleh patah
semangat, berulang kali ia memberi
tahu pada anak-anaknya. Kita mesti
berjuang. Mak Tua jalan membongkok
sedikit dan perlahan.

Tidurnya sedikit. Ketika Mak Tua ini
merasa terlalu penat, ia tertidur
sambil tangan masih mengopak
bilis, sesekali tersedar, melihat
sekeliling dan memulai lagi.
Ia meneruskan pekerjaan tanpa
mengira rembulan telah jauh
di langit malam. Atau kereta
jiran pulang jauh malam berhenti
di tempat parkirnya.

Bilis telah dibersihkan,
fikirannya masih pada sambal,
telur dan menanak nasi dengan
santan.

Seperti solat, ketika masuk waktu,
Mak Tua terbangun sendiri. Membuat
Nasi lemak pun ada waktunya, di pagi
buta. Persiapan untuk dijual besok.

Mak Tua suka mendengar perkataan
esok. Kerana esok membawa
harapan dan penungguan hasil
jual dari hari ke hari.

Malam beredar, Mak Tua
Nasi Lemak ini masih senyap
di dalam kamar. Pekerja telah turun.
Pelajar jururawat  di Country Height
bergegas keperhentian bus.

Di atas meja kedai makan
yang selalu mendapat tempahan
Nasi Lemak Mak Tua kosong
hari ini. Pelanggannya beratur
menunggu Nasi Lemak Mak Tua.

Kota Kinabalu
25 March 2013

*Antologi Puisi Kemerdekaan

No comments:

Post a Comment