Tuesday 19 March 2013

Kelangsungan Hidup (Boat People)

Menghukum, katamu? Mata angin bergerak menurut
kemahuan
Lahar gunung meletus kerana tepat pada waktunya
langit dan lautan bergolak bumi bertahan
sejak ribuan tahun
tiap kejadian terpulang bagaimana
mata hati menafsirkan.

Sebenarnya kita semakin gundah dalam
kandang sendiri.Melihat kenyataan dari
penglihatan, sedang mata telah rabun
dan otot-ototmu telah kebas dan melemah.

Yang melihat dan merasakan
atau yang melihat tanpa berbuat
sama melihat dan duduk di atas pagar.

Menghukum? Bukan jawabnya. Yang
difikirkan dan yang dilakukan harus
berjalan sejajar. Kebenaran tak boleh
dalam samar-samar atau disembunyikan.

Aku tertegun, ketika  langkah dan
bicaramu jadi kasar dan keras. Seakan
sejarah dilupakan. Sepatutnya kita
mengambil iktibar.

Kau merasa terpanggil berkata sesuka
Mengapa kita masih berkata setelah
percakapan ditutup.

Sekali kau melafazkan perang
aku membalasmu kedamaian
kerana di situ tersimpan hikmah
kelangsungan hidup.

Kota Kinabalu
20 March 2013





No comments:

Post a Comment