Thursday 15 May 2014

Penumpang Keretapi* (Suasana)

Ketika aku melompat ke dalam gerabak keretapi
matari telah condong ke barat arah ke Tanjung Aru
timbunanan kargo orang pulang kampung
Ayat-ayat perintah diucapkan berulang kali
yang menerima mengangguk dan masuk ke gerabak.

Assalamualaikum dan selamat tinggal diucapkan
adat berpisah berpeluk dan ada berdendam rasa
suasana riuh yang diselangi dengan sentuhan sukma.
Tiket telah dibeli dan sekarang musim cuti
tiap orang seperti dikejar waktu
keretapi terakhir dari Kota Kinabalu.

Dalam keriuhan dan kesesakkan penumpang
aku selalu merasa semacam kerdil dan terasing
Senja telah berlabuh dan tabir malam
telah tersingkat, bunyi keretapi maju terus
ke destinasi. Lepas satu stesyen ke stesyen
yang lain, sebahagian penumpang telah
mengalas perutnya dengan nasi dan lauk
dibeli di Pasar Filipin.

Dalam gerabak terakhir semua penumpang
bagai dibius mereka mulai tertidur
Keretapi bergerak masuk ke ambang malam
Dekur dan turun naik nafas,
tiap wajah-wajah penumpang
menyimpan rahsia dirinya sendiri.

Malam membelai penumpang keretapi
dengan mimpi-mimpi dan impian. Dan
masing-masing menafsirkan sendiri
untuk lama lamunan dan mimpinya.

Di pintu keretapi
aku berdiri cuba membaca sukma
Sungai Padas,
kerana beberapa hari ini, sukmanya gelisah.

*dikirimkan 16 Mei 2014 pada Sifu Art untuk projek antologi Puisi Kereta Api.

No comments:

Post a Comment