Tuesday 13 May 2014

Aku Khadim Alaf 21 (Ketuhanan)

Aku khadim yang dibesarkan dalam nasihat
lidah, tangan dan sukma ini dipelihara dalam doa
Cinta pada orang tua tak pernah gerhana
siang dan malam adalah saksi kebenaran
tanpa kehadiranmu aku hilang dalam samudera
kau telah menjabat tangan ini dan membawa
aku mengenal Allah Azzali dan Rasulullah
Bagaimana aku bisa melupakanmu, penderitaanmu
tak akan ada bandingan di tanah kasih sayang ini
Kau telah mengajar aku berkata benar sekalipun
terlalu pahit dan pedih untuk dinyatakan.

Matamu selalu redup dan sukmamu sejuk
langit samawi telah menurunkan air dingin
pelepas dahaga ketika kau dalam kepayahan
dan derita yang datang tindih-menindih
sebagai khadim kau tak akan dikalahkan
langkahmu adalah derap Kuda Semberani
dan Sukmamu adalah Gazel yang lincah.
Ke mana saja kau pergi, seruan dan kasih-sayangmu
memanggil orang kepada kedamaian rohani.
Kau tak akan tertelungkup ke dalam
tempurung kelapa dan bersubahat dalam
kegelapan dan menjadi seteru-seteru derhaka.

Bahasamu tetap manis dan halus
gerak dan keputusanmu tak pernah mengelirukan
kau tetap berkata benar sekalipun kau didera
dan dizalimi kerana berjuang  demi kebenaran
Kau adalah cahaya yang dikirimkan menerangi
tanah-tanah tahyul dan ketololan.
Ketika kau berhadapan dengan musuh
kau selalu berbicara  dengan baik dan sopan.
Tapi ketika ada pihak menuduh Keesaan Tuhan
dan menabur fitnah ke atas Rasulullah
Kaulah, khadim yang paling depan menghadap
dan memulangkan segala kejahatan-kejahatan itu
kembali kepada tukang fitnah dan musuh.

Sampai akhir zaman kau tak akan melepaskan
tali Allah, kerana di situ ada keselamatan dan perlindungan
Keselamatan hanya pada Kekasih Allah, Rasulullah.
Kau tak akan berganjak undur walaupun selangkah
di kebun ini, kaulah khadim yang itaat.
yang diperintahkan kau laksanakan
Malammu tak pernah berdusta kau menjalani
Hidup dengan takwa dan tekad perjuanganmu
tak akan berubah dan patah balik
Di lembah hijau kau melihat Khula, berkuda
memberikan harapan dan kemenangan.
Semangat ini hidup dalam ribuan tahun
dalam satu barisan khadim yang siap.

Aku tak akan pernah nak memutuskan
persaudaraan sesama kita. Impian Umatan Wahidah
dan berpegang pada tali Allah adalah kunci
tak akan ada yang dapat merosakkan Taman Indah ini.
Tidakkah kau membaca dalam halaman sejarah
tangan-tangan dan kaki-kaki mereka patah
dan cakap besar yang disebar-sebarkan
dari lorong ke lorong, sebenarnya  tak membawa
makna apa-apa. Tidakkah mereka melihat
gerhana sesudah gerhana dan tanda dari langit
telah memberitakan dan tipu muslihat mereka
hanya  tenggelam dalam igau mereka di siang hari.

Akulah khadim Alaf 21 ini
Kesucian Tuhan adalah disanjung
Tidak akan ada paksaan
sekalipun ada pihak mengambil kesempatan ini.
Aku tidak akan merugikan mana pihak
pada pimpinan negara yang kita cinta,
doa-doa meluncur dari benih-benih yang bercambah
Ya Rabbi, tutupilah kekurangan kami
semoga tutur kata selalu sejuk dan
menyerap tepat ke dalam sukma.
Demi pembangunan negara kami
para khadim akan terus mengingatkan
keseimbangan kemajuan rohani dan duniawi.
Kaulah, simbol dan contoh terbaik
mati bangunmu sebuah negara adalah di tangan khadim
Khadim yang sihat, minda itaat dan fikirannya
senantiasa bergolak ke arah tanah kebaikan.




No comments:

Post a Comment