Friday 9 May 2014

Bathera Ini Telah Disiapkan*(Ketuhanan)

Kau telah membaca langit dengan tertib
pertukaran musim dan musibah yang datang
menggulung mimpi nyenyak tengah malam
rahang bumi bergerak seakan berkata waktunya
telah tiba.

Tiap hari kita mendengar bual orang-orang
di pinggir jalan atau di majlis umum tentang
perubahan langit. Gerhana hanggus di depan mata
Purnama datang bagai komet yang meletus.

Orang masih membuat andaian di sana sini
bertengkar kepada hal-hal yang sepele
dulu di sini  adalah laut yang luas sebesar
sebuah negeri, sekarang padang pasir yang kering.

Kau pun ikut bertanya supaya tidak dicurigai
kalau ada belenggu mengikat kakimu
ayuh, putuskan, usah sampai mencengkammu
sampai puluhan malah ratusan tahun.

Kau masih asyik bermain dalam kegelapan
kerana kau memilih ini sendiri dan tak sedar
kau sebenarnya telah ratusan tahun hidup
dalam tafsir-tafsir dhaif dan lemah
Bukankah, di horizon kau telah lihat cahaya.

Aku menghulur tangan kepadamu sebagai teman
kebenaran langit samawi itu bukan
terkaan liar atau orang mengutip untung
rimbunan hijau dan di pelabuhan lepas,
bathera ini telah disiapkan oleh tangan-Nya sendiri.

*Dikirimkan kepada Dewan Sastera 19 Mei 2014




No comments:

Post a Comment