Monday 12 May 2014

Amanah Sebuah Cinta**(DS Julai 2015)(Terbit)

Aku mendengar kisah-kisah silam, dalam diam
telah menjadi batu kapur di dalam gua ingatan
melihat malam menafsirkan sendiri rahsia
seakan biodata hidup terhampar dan kekasih
senyum malu dan tertawa sendiri.

Hari ini kau menghampar permaidani dari
artifak masa silam, berhampuran di lantai sukma.
Air langit dari mimpi Laila telah lama terserap
di bumi Majnun, namamu yang terpahat
di dinding memori kini mengabur dan berkarat.

Akhirnya kau melafazkan cintamu
yang tak kesampaian dan terkandas di pulau sepi
tiada lagi air mata atau rimbamu yang terusik
segalanya telah menjadi ombak yang bertekad
tak akan kendur menghempas daratan rindu.

Aku telah melepaskan sekawan burung
terbang di langit khatulistiwa, suara-suaranya
masih dapat kukenang tapi ketika mereka
telah melewati tanah mitos dan langit legenda
lalu penjaga langit meniupkan nafiri. Sejak itu
tiada khabar sampai pada hari ini.

Di sini aku tak sendiri langit Tajalli-Mu
adalah saksi perjuangan dan pengorbanan
seorang khadim yang pasrah pada ketentuanan
dan takdir kemenangan rohani dari sukma
seorang mutaki di taman-Mu alaf 21.

*Tersiar Di Dewan Sastera Jilid 45 Julai 2015.






No comments:

Post a Comment