Wednesday 14 May 2014

Hari Guru Dedikasi Kepadamu* (UB)(Malaysia)(Terbit)

Seorang guru langitnya luas dan tanpa sempadan
cinta dan kasih-sayangnya merata dan adil
Ia tak memikirkan dirinya demi kebaikan orang lain
dengan tekun dan dedikasi tinggi ia tuangkan ilmu
mengilap minda  dan menyingkap sukma
membawa mereka terbang ke langit cakerawala
dan galaksi yang jauh, hidup dalam mitos dan legenda
lalu kembali ke bumi nyata.

Kalau dulu suara-suaramu tak didengar
sekarang anak-anak pedalaman, pesisir pantai,
lembah pergunungan, kepulauan yang sepi
menyambut kedatanganmu dengan mengalung
dengan bunga Raya, Kenanga dan Melati
Dalam ratusan tahun, mereka tersorok dalam
lembah tahyul, ketololan dan kebodohan
kini kedatangan seorang guru merubah dengan
tekad dan kesabaran rimba kebiadaban
dan kegelapan panjang itu terserap ke dalam
cahaya modernisasi, pembangunan dan progress.

Khidmatmu jarang tak bersambut
kau melahirkan pemikir-pemikir bangsa
Sasterawan Negara, Perwira Bangsa,
Pemimpin-pemimpin rakyat, Sainstis berwibawa,
ekonomis kelas pertama,  intelelek-intelek
yang berfkir dan bersifat antarabangsa.
Kalau kami mengenangkanmu kerana
jasamu dan mengangkat martabatmu
adalah kerana kami insaf ketekunan dan
penderitaanmu tak setimpal dengan kebaikan
yang kami berikan.

Ya Rabbi, berikan kekuatan dan perlindungan
kepada guru-guru seumpama ini. Di Tanah Cahaya ini
bukan satu malah ribuan dan ratusan guru-guru
lahir di masa mendatang dengan jiwa besar
menjalani hidupnya sederhana dan tahan lasak
Mereka dapat bertahan dalam pelbagai zaman
Mereka bukan golongan yang mementingkan diri
Mereka  berkhidmat kerana Allah semata-mata
Mereka adalah guru yang disayangi dan hidup
dalam memori.

Ketika guru-guru pulang ke alam baka
kita terasa kehilangan itu kerana mereka
adalah berdiri antara masa silam dan mendatang
tungkus-lumus yang tak mengenal derita
kau melihat sendiri kemakmuran negaramu hari ini.
Mereka adalah pemimpin bangsa yang terbilang
Ingat, siapakah pejuang-pejuang dan
pengobar semangat bangsa menjelang kemerdekaan
Negara yang kita cintai, Malaysia.
Siapa? Dia adalah seorang guru. Ya, seorang guru yang
membacakan karya puisinya, menyuara isi hati
dan prihatin kepada bangsanya yang baru keluar
dari belenggu penjajah.

Aku masih ingat di kelas satu
ketika menunggu loceng berbunyi
kau bercerita tentang Sang Kancil
dengan segala kebijaksanaannya.
Tiap hari aku menunggu kehadiranmu
di depan kelas, Hingga satu ketika
aku tak melihatmu selamanya.
Kau bunga bangsa yang hidup sepanjang zaman.
Ya Rabbi, tak keterlaluan kalau aku mengingati
guru-guru seperti ini. Tak kira di dunia mana ia
berada, dunia ilmu adalah dunia tanpa sempadan
dan mereka adalah bintang-bintang di langit malam.
Doa-doa ini mengalir dari sukmaku yang tulus
dengan bahasa yang sederhana, mengenangmu, jasa Guru.
Ya Rabbi, kepada guru-guru di Tanah Perang,
di Tanah Tandus dan Kebuluran, di Tanah Miskin dan Penyakitan,
penuhilah kebutuhan dan keselamatan mereka. Amen.


*Tersiar Di Utusan Borneo 18 Mei 2014





No comments:

Post a Comment