Wednesday 28 May 2014

Kedamaian Sukmamu Kau temui Kembali (Ketuhanan)

Kau tersiksa dan mengigau dalam tidur gelisah
seribu tahun jiwamu masih belum tak tenteram
malammu panjang dan siangmu mendung tebal
seperti kau orang gila sepanjang jalan pulang.

Kedamaian sukmamu sirna di permukaan malam
kau telah digoda dengan pertanyaan tak berjawab
tiada ketenangan di bumi dan langitmu selama ini
perjuanganmu menyorokmu jauh ke dalam gelap.

Mata rohanimu telah buta dalam pengkiraan masa
dalam gelap kau masih memburu bayangnya sendiri
sukmamu diam dalam kekalahan .

Kau meraung ke langit
dalam doa tahajud
Penjajah bangsa telah pulang
kini daratan tanah merdeka
gema suaramu melaung panjang
terdera dan terpelosok .

rindu pada kedamaian sukma
melihat jiran yang terluka
mengerang dalam sedang
orang lain mempersendanya.

Yang dulu laut rohani mengalir dan darinya kau makan
ikan yang lazat, kini menjadi padang pasir yang kering
dulu ada desa di kaki gunung, kehijauan yang menawan
tapi, kini memori berdarah dari ingatan zaman berzaman.

Gerhana di langit sukmaku telah berlalu dengan datangnya
hujan semi bulan purnama aku menemukan kebenaran ini
menyingkap rimba ketololan dan melangkahi sempadan
sampai ke kepulauan sepi, tanah rawan dan benua jauh.

Aku hirup udara dan memegang tali samawi dan melihat
Ummatun Wahidah di tangan Kekasih-Mu dan sukma
Khalifatun Rasidun adalah seperti bintang-bintang di langit
sahabat, rahmat dan kurnia yang turun adalah manifestasimu.

Manifestasimu  adalah yang abadi dan sampai akhir zaman
mengangkat martabat ummah dari tangan-tangan yang kasar
cuba merosakkan benih dan panen ini, kau tak akan berjaya
kerana tangan Dia sendiri telah menjaga dan memeliharanya.

Kedamaian sukmamu telah ditemui bukan dari orang zalim
militan atau bukan orang-orang dunia bertopeng agama
Muhammad, pendiri syariat sempurna
syafaatmu mengalir sampai akhir zaman.

Zaman kekerasan telah berlalu, burung-burung merpati
terbang damai ke negeri jauh, keindahanmu bukan pula
menakluki tanah sempadan lalu meluaskan tak berhenti
kemenanganmu kerana cinta pada Rasul hidup menawan.

Manisku, tenang, tenanglah tidurmu malam ini
kau khalifah yang dilantik oleh Allah Azzali
sukmamu bersih dari kejahatan dan kebohongan
pesan kedamaian ini harus sampai kepadamu.

Aku mulai menyudahi dengan bersujud lama
salam telah bersambut dan kemenangan rohani
kejuitanmu di langit malam saksi pada siang ini
bagaimana kau menidak kebenaran telah sampai?







No comments:

Post a Comment