Sunday, 12 May 2013

Kerinduan Malam Itu Telah Tertawan*(ALBDSM)

Kupanggil namamu kerana aku rindu
Kalau kau mata angin aku dapat membacamu
ke mana kau akan bergerak pada senja sirkah ini.

Nafasmu gelombang malam tak terlalu besar
cukup akan melenggangkan bathera ini
ke pulau impian.

Sebelum kau turun ke nabalu
gemerincing gelang kakimu  menggenapkan
firasat seorang perindu.

Kaukah yang datang dengan kembang kenanga
lalu meniup ke dalam sukma sedang aku masih
memanggil namamu.

Di pantai Pulau Mantanani, aku melihatmu
dalam kerinduan lalu kupanggil namamu
di malam bulan purnama.

Lalu Tuhan menyingkap pintu langit
sepi yang menelur di lembah Danum
digenapkan.

Kupanggil namamu kerana aku rindu
kata-kata telah menjadi air mengalir
bersatu di dataran tinggi menjadi air
terjun yang dingin.

Ruhmu telah pulang ke jasad
kerinduan malam itu telah tertawan
kepuasan seorang perindu
telah sempurna hadirnya kasyaf
dan hujan musim bunga turun
ke dalam sukma. Aku dan kau telah
bebas dari malam yang gerun itu.

Pulau Pinang
12 Mei 2013

*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013