Tuesday 9 July 2013

Tarawih Malam Pertama Bulan Ramadan Al Mubarak*

Merah di kaki langit beransur pudar
perlahan-lahan warna gelap menyerap
dan sekeliling pun menjadi gelap.

Maghrib telah pun berlalu. Yang pasti
malam ini adalah malam penuh barkat
setiap sudut mata memandang, yang
dilihat adalah para malaikat berpapasan
dan salam terucap.

Aku menunggu solat Isyak, azan
berkumandang dari masjid di tanah
wakaf. Memanggilmu, dengan kasih-
sayang.

Air wudhu telah diambil. Kini kami
menunggu imam berdiri dan memberi
isyarat. Solat Isyak dimulai. Takbir
telah ucapkan. Kami memulai solat
saf demi saf, kami mengikut imam
sampai salam terakhir.

Hujan turun di kotaraya kini telah
berhenti. Langit selepas hujan, di
malam pertama solat Tarawih.

Rakaat demi rakaat, jemaah berdiri
tekun dan mengikuti bacaan Hafiz
Quran, hingga ke sembahyang witir.

Malam bergerak perlahan dan kami
menikmati keindahan malam Tarawih
menyerap ke dalam sukma. Kerinduan
kami terasa terubat. Hadir di malam
pertama bulan Ramadan Al Mubarak
ini, adalah pembuka langkah pada
pengembaraan rohani menyambut
panggilan-Mu.

Kami mendengar Tuan Maulana
memberikan daras tentang puasa.
Kami pendengar baik dalam 30
malam mendatang ini.

Kepada-Mu segala puji
kami di sini di bumi pribumi
menjawab panggilan-Mu
dalam ibadat Puasa.

Kota Kinabalu
10 Julai 2013



No comments:

Post a Comment