Tuesday 16 July 2013

Sehari Dalam Ramadan

Solat tarawih telah selesai
ada yang pulang dan ada yang
duduk bercerita tentang doa dan
solat.

Tea susu dan roti kering
meluruskan kaki dan melegakan
tekak. Hujan telah berhenti
langit tenang dan laut tak berombak.

Tadi pagi hujan angin
menumbangkan pohon-pohon
kayu di sepanjang jalan.

Setelah sungkai, senja di kaki langit
berubah perlahan-lahan menjadi gelap.
solat maghrib di masjid
saf demi saf membentuk garis
lurus hingga ke belakang.

Kami duduk-duduk, berbual ringan
menunggu datangnya solat isyak
pada mata tampak satu perjuangan
pada tubuh adalah tanda dan semangat
ruh Ramadan Al Mubarak
dalam sukmamu.

Malam memberat dan melunsur.
Nafas langit turun naik dan bumi
hamparan empuk berehat
hingga datang waktu solat tahajjud dan
sahur, hidangan sederhana.

Cahaya fajar di
langit malam, muazin menarik nafas
dan mengendurnya dalam tekanan
sederhana memanggilmu, solat.

Kuserap udara pagi Ramadan.
Kubaca kalimat-Mu. Kedamaian
di puncak gunung. Ketenangan
lautan ketika mentari siang membuka
kepaknya.

Salam, salam Ramadan Al Mubarak.

Kota Kinabalu
17 Julai 2013




No comments:

Post a Comment