Friday 19 July 2013

Pendatang Malam (Boat People), Bulan Qamar Ramadan di Persada Langit (Boat People)

Lautan tampak indah, bulan Qamar menghias langit
Ramadan. Kepulauan seperti berselindung di bawah
kepaknya. Kemurahan pada wajah-wajah mutaki
Kau telah dinasihatkan dan amaran pun telah di-
beritakan, kedatanganmu tak akan diterima.

Kau melihat bulan Qamar dan bintang-bintang
seperti manik-manik yang terhampar di cakerawala.
Di dalam lautan pun ada dunia  penuh dengan
rahsia dan cahaya yang mengilap.

Sempadan telah ditutup dan lautan kaulayari
telah dipasang monitor Pendatang Malam.
Suaramu cuba menempel pada tebing pantai
pasir putih telah menolak impianmu kembali
ke laut pasang.

Kau mencari kedamaian sukmamu. Ceritamu
ingin didengar sekalipun angin buritan. Kau
ingin telinga dan mata yang kasihan. Tapi,
di sini pintu-pintu itu bagaikan telah tertutup
rapat. Pendatang Malam tak dibenarkan di sini.

Nauru dan PNG telah mempersiapkan tanahnya
mendirikan kem-kem tahanan buat Pendatang
Malam. Australia memberitahu dunia, 'kami tidak
alang-alang, kami serius, menangani Pendatang
Malam.'

Doaku padamu. 'Kau adalah musafir,
dunia mulai kendur mendengar ceritamu. Tapi
kau jangan berhenti bercerita. Tiap
pelayaran, tiap derita, aku bersamamu.
Kemanusiaan sejagat bukan buih sampah di lautan.'

Kota Kinabalu
20 Julai 2013






No comments:

Post a Comment