Wednesday 27 January 2016

Satu Kekuatan* (Ketuhanan)

Melawan arus tentu kau terbawa jauh ke pulau terasing
berdepan dengan gelombang harus tau memutar kemudi
lepa-lepa telah belayar jauh menuju pelabuhan damai
tak usah menunggu mata angin kerana siang telah tiba.

Telah dikirim perisik pada gunung, rimba raya dan lautan luas
suara itu ada di mana-mana dan kau tak tau dari mana datangnya
adakalanya ia datang ke dalam mimpi, seperti burung atau kata-kata
kau menerka maksud langit berubah, lembah sepi dan gua berahsia.

Pertanyaan seperti teka-teki yang tak semudah itu dijawab
malam turun menyingkapkan firasat yang membawa khabar
pada keheningan dan hamparan malam kau sujud dan tawajuh
kelazatan yang menitis di dalam kalbu seperti mencicip madu.

Ketika kau memutuskan perkara maka padamu diminta kebijaksanaan
tiap kesanggupanmu ada sempadan dan takarannya yang tak melebihi
demi meraih satu kebanggaan pada puncak gunung itu kau harus sedia
sekali kesatuan telah dibuat dan suaramu bangun menjadi kekuatan.












No comments:

Post a Comment