Saturday 16 January 2016

Puisi Terbuka Kepada ISIS (ISIS)

Tak ada kebaikan yang telah kulihat
di ladang sukmamu atau pada matamu
seperti gunung berapi yang akan meletus
dan mengorbankan dirimu sendiri.
Tiada yang aku kagumi apa yang kau
kerjakan di bawah langit terbuka ini.
Suaramu memanggil bukan dengan
kasih-sayang dan membebaskanmu
dari kemarau rohani yang panjang.
Bicaramu maut dan kau tak berhenti
seperti jentera perosak terus bekerja
untuk kehancuran dan musnahnya
kemanusiaan sejagat dan jiwa selamat.

Beritamu tiada lain selain kezaliman
yang kau inginkan banjir darah dan
mencipta gerhana panjang di bumi
leluhur. Kau tak akan menang kegelapan
kauciptakan adalah perangkap samar
pada dirimu. Kau tak akan berjaya.
Syafaat hanya pada Kekasih-Mu,
Muhammad, bulan purnama penuh.

Semua yang kau katakan bertantangan
tindakan dan bicaramu, kegilaan luar biasa
Kau bergumul dengan Nafsi-Amarah
kekejaman kau katakan perbuatan mulia.
Malam panjangmu tiada apa-apa selain
kegelapan pekat dan majnun. Tiada yang
mendengarkanmu kerana yang kau laungkan
hanya maut. Kata-katamu itu tin kosong
dan kebohongan yang merugi.

Kau tak akan menang dan berjaya
kerana kau sendiri tak ada pilihan melain
mencipta teror dan panik. Kau, agen perosak
yang tak akan bertahan lama. Kami tak akan
merelakan kau berdiri di atas mimbar
dan mengaku, hanya jalan sehala gayamu,
jawaban dan resepi kemenangan.

Jihad yang kau laungkan itu tak lain kegilaan
bertentangan dari samawi yang menurunkan
hujan cukup dengan takaran pada musim semi.
Kekalahanmu itu pasti. Kedamaian tak akan
berhenti berkibar, seluruh penjuru akan bertukar
tempat. Kebenaran, saksi zaman sampai kiamat.
Tangan-Mu tak membiarkan kejahatan bercambah.





No comments:

Post a Comment