Thursday 28 January 2016

Pulang (Syria)*(Boat People)

Ketika kau menyatakan aku akan pergi
keputusan itu seperti sebuah lagu sedih
langitmu runtuh selapis demi selapis
di depan matamu sendiri tak percaya.

Kau tinggalkan halaman ini tergesa-gesa
seperti rumah yang penghuninya pergi
dalam sejam atau sehari kerana perabut
jemuran dan yang lain seperti tak tersentuh.

Di mana angin bertiup di situ kau ikut
tak banyak yang hendak dikatakan dan
yang kau lihat dalam perjalanan ini
tiada bedanya dengan keadaanmu sekarang.

Selangkah demi selangkah kau telah jauh
dari tanah leluhur dan kota kelahiranmu
batu seperti bergolek dan menindih di atas dada
berulangkali kupanggil namamu tak berjawab.

Semakin jauh kutinggalkan tanah airku
kau tak kuasa atas semua yang berlaku
tapi, ia telah berlaku di luar kemampuan
kau terpaksa tinggalkan yang kau sayangi.

Selamat Tinggal, tanah airku
aku hanya perlu mengambil sedikit waktu
bila segalanya berubah dan kedamaian wujud
aku akan pulang dengan manisku.

*Dikirimkan kepada  UB 8 Februari 2016

No comments:

Post a Comment