Friday 29 January 2016

Auckland (Lanskap)

Ini bukan mimpi aku datang padamu
menelusuri bumimu  dan bau belerang
dalam kehangatan air panas ada
suara-suara malam yang hinggap
rahsia pada bumimu dan langit
dan sukmamu yang meratap masa silam.

Kau telah menyatukan suaramu
menjadi kekuatan air yang mengalir
dalam pengucapan hati nurani
langit saksi abadi kemenangan rohanimu
gema damai telah menyerap ke dalam sukma
derap waktu kau membaca kalimat-kalimat suci
dan mimpi-mimpimu adalah mimpi yang benar.

Tiada yang tertinggal di belakang
kerana amanat ini pada semua yang ingin
penentangan akan membawamu musim dingin
dan malam yang panjang menyelubungi bumimu
pada matahatimu ada kilatan cahaya
dan dalam diam kau telah membuka pintu rumahmu.

Benih yang kau tanam semalam
akan tumbuh dalam segala musim
kau saksi yang melihat sendiri
buah dari musim memetik di hari esok.





No comments:

Post a Comment