Wednesday, 9 March 2016

Istighafar (Ketuhanan)*

Gerhana telah berlabuh di dalam kalbumu
siang telah menyingkap rahsia langit
kegelisahanmu seperti tebing yang terhakis
suaramu air yang mencari jalan keluar.

Selama ini kau memburu angin dan
ilusi yang tak berakar pada bumi
harapanmu hanya bayang-bayang
yang memburu cahaya pada gelap.

Tanpa kesucian diri kembara ini
jalan berputar-putar dalam satu lingkaran
kau kehilangan ruh yang mengerakkan
nalurimu meraih cahaya kebenaran.

Kau tak ingin berpegang pada luaran
isi perjuangan di bumi kasih sayang
tak akan kau pernah kehilangan diri
kerana kau terus mengucap istighafar