Sunday, 13 March 2016

Sungai Kinabatangan Kesabaran Jiwamu* (UB)

Sungai Kinabatangan hidup dalam kalbumu selamanya
tiada tangan pendatang malam meregut kedamaian ini
ketenteramanmu lambang sebuah harapan terus hidup
kau tak akan merelakan kekerasan tumbuh di tebing hati.

Airmu mengalir lembut pelepas dahaga musafir lelah
rahmatnya telah melimpah ke generasi akan datang
kau tak akan melepaskan yang digenggam dalam tangan
kelembutan dan kasih sayang sungaimu rahmat khazanah.

Ketahanan dirimu mengalir tenang di persada waktu
pemukim sungai tumbuh tenteram dengan rimba jati
kalian berkongsi sempadan dan akur pada alam raya
kedua-duanya saling memberi dan mengisi cinta bertaut.

Di bumi leluhur ini kasih sayangmu tak pernah padam
tamu-tamu datang menyempurnakan mimpi-mimpinya
sungaimu lambang pengorbanan dan perjuangan abadi
Kinabatangan sulaman rasa dan fikir anak-anak peribumi.

Cahaya samawi menurunkan malaikat membawa khabar
kemenanganmu bukan pada kekerasan dan amarah liar
dendam dan serakah telah dibawa arus jauh ke muara
alir Sungai Kinabatangan kesabaran jiwamu sejak silam.


Sukau
Sungai Kinabatangan
2013
*Disiarkan di Utusan Borneo 31 July 2016