Thursday 10 March 2016

Kasih Sayang*(Cemar)

Kau telah memelihara lidahmu dari kata-kata kesat
berjuang melawan kekerasan dengan kasih sayang
panah-panah amarah yang dilepaskan kerana dendam
dan memilih kezaliman dan membunuh kedamaian.

Ketika kalbumu telah kehilangan langit biru
siangmu hanya awan mendung dan kegelapan
membiarkan maut mengamalkan hukum rimba
perintahmu nada keras dan bahasamu takabur.

Kasih sayang menggerakkan kalbumu lemah lembut
dan langitmu telah berubah biru jernih dan bercahaya
menawan relung-relung hatimu yang memilih kegelapan
kemenangan rohanimu kerana di situ ada ruh kebenaran.

Muhammad, Rasulullah, wujud suci, telah memberimu
air dari telaga samawi membebaskanmu dari kehausan
api durjana dan derhaka yang bersarang dalam dirimu
perubahan langit dan bumi kerana terucap kasih sayang.

Jalan kasih sayang telah membawamu ke pintu syafaat
tiada yang dapat menahan senjata yang tak melukakan ini
kata-kata yang merendah dan lemah-lembut telah memberimu
kemenangan abadi dan saksi-saksi palsu hapus tak berputik.

No comments:

Post a Comment