Tuesday, 15 March 2016

Badak Sumbu Sabah (Cemar)*

Kami masih bertiga berada di sini
tiap detik telah diperhitungkan
hari kepulanganmu makin jelas
selamat tinggal negeriku tercinta.

Kau telah mendengar berita tentang
kami, badak sumbu asal negerimu
suatu waktu kami hidup membiak
di rimba belantara khatulistiwa.

Luasnya hutan halaman kami
makanan banyak berlimpah ruah
kesuburan tanah peribumi jati
anugerah Tuhan khazanah bangsa.

Kini dalam habitat kami bertiga
hari-hari mendatang kau semakin
jauh dan jasad kami akan terkubur
lumat di bumi leluhur.

Di hari-hari tertentu mungkin kau
mengenangkan kami, badak sumbu
pernah kami hidup di rimba rayamu
kini telah tiada dan pupus selamanya.