Tuesday, 22 March 2016

Kembali Pada Langit* (Syria)

Keretakkan pada bumi leluhur makin dalam
seperti jiwa ragamu  terbagi menjadi tiga
tiap satu ada sempadan mudah meledak
hingga bumimu tak punya wajah dan bentuk.

Burung-burung telah meninggalkan lembah
terbang melintasi sempadan beribu-ribu
sarang-sarang di pohon tinggi telah kosong
hanya gema angin datangnya musim luruh.

Di sini kekuatan doa-doamu mengembalikan
langitmu damai dan memanggil rahmat Illahi
turun menghalau durjana dan derhaka dari
malam-malam kegelapan mencengkam kalbu.

Syria, kembali kepada kedamaian bumimu
jangan biarkan kehancuran memusnahkan
impian dan harapan bangsamu selamanya
kembali pada langit kerana di situ kebenaran.