Monday, 14 March 2016

Kepulanganmu (Ketuhanan)*

Aku mengenangkanmu dalam doa-doa malam
waktu telah berjarak meninggalkan memori
begitu cepat hari pun menjelang senja sirkah
pintu kedamaian sebuah hati telah kau temukan.

Pertemuan kembali telah menyempurnakan
kasih rindu yang tersembunyi di pojok kalbu
purnama sekilas membenarkan mimpi-mimpi
kehadiranmu telah menghalau kegelapan silam.

Rahmat Allah telah membuka pintu pemisah
jalan pulang yang damai dan doa-doa istighafar
menurunkan hujan samawi cukup dengan takaran
taman ini telah hidup semula harum bunga mekar.

Kesedaran itu menerima siang penuh gemilang
dunia bayang lenyap tanpa sentuhan tanganmu
kau terima akhir kembara ini menemui Kasih-Mu
segala kau genggam dengan rela kau biarkan pergi.