Friday, 26 October 2012

Tahi Lalat Dan Snowman (Malaysia)



Bagaikan sekilas gerhana
akan berlalu
pada sebuah malam.

Lama sudah
aku tak melihatmu
hanya tahi lalat
memulangkan
ingatan itu.

Aku berkata
ada tanda kelahiran
pada buah pinggang.

Tapi, aku masih suka
tahi lalatmu.
di wajahmu.

Ingatan itu
bukan selalu
datang.
Aku melihat
ada halaman rumah.


Pagi itu,
salji turun
bukan pada
musimnya.

Kau melihat salji turun
dari kaca jendela

‘Tolong, Aba, 
bikin snowman.’

Kami berlari
ke sana kemari
menggenggam salji
dan menumpuknya.

Salji tak seberapa
masih kabus
tebal di kota Mittagong.

Di tengah halaman
dalam baju jaket
musim dingin.
Kau meloncat-loncat
kegirangan.

Salji masih turun
kepala snowman
dan perutnya gendut
lalu dipakaikan
topi dan scarf.

Snowman
punya kita.

Mittagong
berendam dalam

kabus salji.
Seorang anak
ketawa senang.

Kota Kinabalu
27 Oktober 2012

**Antologi Puisi 'Zikir Cenderawasih' oleh Hj Bung Johar, Sabahuddin Senin dan Haji Domeng, Borneo Top Publishing House, 2014.