Thursday 4 October 2012

Naratif Doa Orang Kecil*(ASP)

Dari kecil aku tak pernah melawan
kerana aku kecil sekalipun citarasa
mengalir, menjangkau bintang kejora.
Aku cuba nafsir alam menurut
kemampuan. Dari kata-kata terucap
dicuba sebaik jujur, walaupun aku
sebenarnya orang kecil ada keinginan
seperti orang lain. Ada selera seperti
sultan. Tapi aku masih orang kecil
tak akan melawan apa lagi berkata
kasar, bukan budaya dan tradisi.
Jadi, dalam doa-doa yang terucap
aku mohon punya tanah berkebun
sayur di belakang rumah. Punya
rumah sendiri, tidaklah pula seperti
rumah boss yang bertingkat-tingkat
dan bertembok tinggi keliling rumah.
Kalau orang besar dapat projek besar,
aku pandai pula iri ingin projek cepat
diluluskan seperti jiran sebelah rumah
selalu dapat projek dan terbang ke
sana sini. Sebenarnya, aku tak berniat
mencaci maki, kerana aku sedar,
sebagai orang kecil cukup dapat
tempat di lorong kota berjualan
nasi lemak sebelum jam 8 pagi
balik ke rumah. Biarlah mereka
punya isteri muda, dan kahwin
satu, dua, tiga dan empat, aku tak
cemburu, kerana aku sedar siapa
aku. Aku anak orang kecil, besar
pun masih orang kecil. Dari kecil
aku suka pada keramaian. Keramaian
di kampung dan keramaian di kota.
Keramaian masa raya. Aku suka
berbelanja seperti orang lain. Tak
salah bukan, berbelanja, semua orang
suka. Apa lagi shooping, tengok-tengok.
Aku tak juga terlalu miskin, tak
sampai meminta-minta di pinggir
jalan. Kerana aku pribumi, spesial!
Kalau aku jadi peminta-minta, bukan
kerana aku malas. Kerajaan menggelakkan
orang kecil cam aku minta projek.
Jadi, kalau aku jadi peminta-minta
dengan kerajaan, aku tak malu seperti
lain orang bimbit beg minta sokongan
orang besar. Aku pun ikut seperti
mereka, kaki projek. Kerana aku
orang kecil, tak boleh tamak. Makan biar
sama rata kerana kita semua orang
pribumi. Dari dulu, aku bukan orang
politik. Orang kecil menurut, tak
melawan, tapi kami boleh berfikir
seperti Pelanduk. Kerana pelanduk
pun badan kecil, jadi, orang kecil
seperti aku. Tiap hari aku naik bus,
aku tak rasa iri kalau orang kampung
aku dah beli kereta besar, rumah besar
dan berniaga kerana itu kemajuan.
Tabik kepada mereka. Yang maju,
aku bersyukur ada juga orang kita
dalam perniagaan.  Sebenarnya aku
tak memandai-mandai, pantang,
orang kecil mesti menjaga maruah
diri. Sekalipun aku orang kecil
aku selalu menasihatkan anak aku
menjaga maruah diri, tradisi bercakap
benar itu pegangan agama. Kalau
mereka mau berbohong untuk dapatkan
sesuatu, itu urusan mereka. Sekalipun
aku orang kecil aku tak pandai
berbohong. Kalau orang kecil
berjanji, selalu betul, selalu ditepati.
Maaf, aku orang kecil tak pandai
berkata-kata, tapi kalau pintu terbuka,
ada peluang berkata-kata, orang kecil
tak akan berhenti bicara. Hampir
aku terlupa, yang paling nombor satu
dalam fikiran aku ialah Pelajaran,
Education dalam bahasa orang putih.
Aku tak boleh terima kebodohan aku,
apa lagi orang pribumi terbelakang dalam pelajaran.
Akulah manusia yang paling iri,
kalau melihat orang pribumi tolol,
percaya tahyul, takut hantu. Syukur,
sekarang sekolah-sekolah  kerajaan
banyak didirikan sampai di perladangan
sawit dan desa pedalaman. Pendatang pun
meraih kebaikan, alhamdulillah. Anak-anak
pelarian patut disekolahkan. Namanya
warga manusia sejagat, pelajaran hak
semua bangsa, impian sejagat.
Aku suka sekolah asrama kerana
di sana makan sihat, tidur atas katil dan lampu letrik.
Ya, Allah, aku berdoa seperti orang lain
aku tak minta lebih dari kemampuan
aku, orang kecil. Jadikan aku
dan keturunan aku cintakan ilmu,
tak suka melawan, sekali melawan, gempa..
tak suka bercakap kasar, memaki hamun.
Orang kecil berbudaya dan berbahasa.
Aku orang kecil, orang pribumi,
aku punya cita rasa seperti kamu
yang duduk di sana. Tanpa doa-doa
orang kecil dan kebaikannya kamu
tak mungkin dikenal apa lagi penting.

Honiara
5 Oktober 2012

*Antologi Suara Penyair, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, 2012



No comments:

Post a Comment