Tuesday 20 December 2016

Mimpimu Pada Arakan (Rohingya)*

Sebatang sungai memisahkan
tanah leluhur dan negara tetangga
kau berdiri di pinggir sungai
memandang ke tanah seberang
tentera Myanmar melihatmu.

Sungai ini menentukan
kebebasan yang kau mimpikan
atau maut yang menolakmu
ke dalam sungai.

Kau mendengar das tembakan
arus sungai membawa ke tengah
pemburumu makin galak
melepaskan tembakan
dalam remang petang
kau bertarung, tenggelam timbul
menggapai tanah seberang.

Tanah Rohingya langit Arakan
melepaskan anak-anak leluhurnya
dari kekejaman tentera
penghapusan etnik Rohingya
dan Jenayah Kemanusiaan.

Dalam samar kegelapan
kau berenang seperti anak anjing
mencapai tanah seberang
keinginan hidup dalam dirimu
mendorongmu.

Amarah tentera Myanmar
masih kedengaran mencari
jejak-jejak bayangan Rohingya
tanah sempadan ini
terus didatangi pendatang malam.

Ketika kau tiba di tanah sempadan
sungai ini ujian terakhir
Rohingya ke tanah kebebasan
dan mimpimu
pada Arakan hidup
dalam pembuangan.

Nilai
Disember 2016

No comments:

Post a Comment