Friday 13 September 2013

Orang Obsessi Dan Pembenci Cicak (Malaysia)

Seakan ada lipan dalam tenggorak kepalanya
Tidurnya tak lelap sekalipun kelihatan
memejam mata. Sukmanya, meraung
jauh dan gundah. Ia tak boleh
mendengar bunyi cicak. Pantang!

Tapi ia bukan seorang General
yang akan membuat keputusan
terakhir sebelum terjadi peperangan
bimbang ke arah mana angin bertiup.

Sekarang ia menjadi seorang pembual
dan gundah ketika menerangkan
ia menaruh prasangka sekalipun
pada seekor cicak di penjuru bumbung
rumah.

Ketika ia melihat cicak timbul
naluri ingin membunuh dan ia
mudah melakukannya tanpa ada
perintah. Ia akan berjaga tiap malam
duduk di atas sofa menunggu cicak
dengan gelang getah.

Di ofis, ia tampak seperti orang bosan
lama sudah ia tak senyum ketika menatap
mata tamu apa lagi mengucap selamat
kerana lipan di dalam tenggorak kepalanya
masih merayau.

Kekadang bila bosannya memuncak
matanya meliar mencari cicak walau
seekor. Tiap hari ia mengumpul gelang
getah. Ia menjadi obsessi pada cicak.
Kalau ia travel pun matanya gundah
dan melihat bumbung kapal terbang
mencari cicak.

Ia benar-benar hilang pertimbangan
ketika sedang duduk ia seakan berkata
ci cak, ci cak, ci cak, matanya berjaga
Di jalan-jalan di kotaraya, ia mulai
melihat cicak di mana-mana. Menunggu
lampu traffik bertukar warna, di stesyen
bas, dalam restoran, tubuh-tubuh cicak
yang dilihatnya.

Terakhir kemarahannya meluap dan tak
tertahan. Ia berteriak di tengah kelayak
ramai sebuah plaza tanah air. Ci cak,
ci cak, ci cak ada di mana-mana. Diamkan
bunyi suara itu. Bunuh Cicak, sambil
merobek baju kemeja. Dari hari itu tak
kedengaran cerita orang itu, yang sangat
obsessi dan benci dengan cicak.

Anihnya,
oang-orang mulai menyukai cicak. Mereka
mempelajari cicak. Kerana cicak seperti
penghidupan mereka sendiri, orang kecil.

Kota Kinabalu
14 September 2013









No comments:

Post a Comment