Di Tanah Peribumi tercinta ini
aku berdiri mencium bau tanah
menghirup udaramu memaknakan
satu perjuangan dan kemerdekaan.
Malaysia, seperti bola matahari
muncul di horizon.
Kelahiranmu adalah rahmat
doa tak putus.
Di sini aku dilahirkan, Sabah
namamu, indah-menawan
Malaysia Merdeka.
Dan penjajah telah lama pulang
mengangkat kehormatan bangsa
martabatmu sebagai negeri leluhur
didengar disegani negeri merdeka.
Malaysia, negara merdeka
Sabah, rahmat Tuhan turun
kau terima dan memandang samawi
ini adalah yang terbaik untuk bangsa
Bagaimana aku dapat melukiskan
langit malammu penuh berbintang
impian seorang penggali mimpi
dan mencipta impian ribuan tahun.
Bagaimana aku bisa melukiskan
sukma belantara masih bernafas
Gunungmu harapan dan cita-cita
purnama penuh di langit merdeka.
Kusebut namamu, Malaysia
kerana aku tak akan pernah jemu
Simpang Mengayau, Long Pa Sia,
Lembah Danum dan Maliau Basin.
Aku tau di Tanah Peribumi ini
aku tak akan sendiri, langitmu
penuh cerita lagenda dan mitos
Khaltulistiwa sukma rimbamu.
Tanah Peribumimu tak pernah diam
ada gerak menawan dari langit turun
hujan di lembah ini membawa benih
bercambah di tanah lembah gunung.
Kami tak akan kalah kepada petualang
mencemar Tanah Peribumi ini.
Apa kau tinggalkan pada generasi akan
datang,
Kau tak akan melepaskan cinta-kasihmu
Kalau kau diminta berkorban kerana
melindungi langit, hutan belantara, lautan
biarlah kau orang pertama di garis depan.
Biarkan langit penuh dengan burung terbang
berkawan dan selamat dari pengetah burung
biarkan sungaimu mengalir dan tanpa dicemar
tiap hidupan di sungai dan daratanmu tak akan sepi.
Biarkan rimba belantaramu bernyanyi,
sahut bersahut, penuh irama dan lagu
seperti Monyet Probiscus bergayutan
dari dahan ke dahan,
Sungai Kinabatangan tak pernah sunyi
Sungai Padas dan Sungai Labuk.
Pulau Mantanani, Pulan Lankayan,
Banggi dan Pulau Sebatik.
Banjaran dan gunungmu, Kinabalu
dan lembahmu menawan
berkembang mekar bunga Raffleasia
Biarkan pulau-pulau, sepanjang tahun
pantai pasirmu selamat
Biarkan gajah pigmi bahagia
di Gunung Ra Ra.
Lihatlah pada wajah-wajah peribumi
ada pelangi dan sukmanya pohon Gaharu.
tradisi budaya hidup dalam jiwamu
memang kaya dengan gerak dan tari.
Rimba Rayamu selalu terdengar bunyi
kau dengar gong kulintangan dipalu
tangan melebar seperti burung helang
kakinya berjengkit, keharmonian tari.
Amanat ini telah kau pegang
bergabung demi hari depan
impianmu dan para perjuang
pernah turun berjuang diingat.
Kami akan mengenangkanmu
dari satu generasi ke genarasi
lidah kami selalu lembut tulus
ketika kami melafazkan doa.
Di Tanah Peribumi ini
mengingatimu pada siang Merdeka
pada mereka telah dulu berpulang
pada leluhur doamu terus mengalir.
Inilah syafaat yang tak dapat dikalahkan
kasih-sayangmu meliputi langit dan bumi
tiada dirugikan oleh dendam tipu muslihat
Hidup, bangsa, negaraku Malaysia tercinta.
Kota Kinabalu
16 September 2013
*Antologi Puisi Langit Sukma Di Malam Kemerdekaan.
No comments:
Post a Comment