Thursday, 1 August 2013

Wakil Rakyat

Telah lama kau melupakan
bila kau tiba di sini dan
sudah berapa lama?

Orang kecil tetap orang kecil
cepat dikumpul dan cepat
dibubarkan.

Yang baru datang
tetap datang
yang belum datang
pasti datang.

Kau pun tak ingin aku bertanya
kerana tiap pertanyaan
akan menambah pertanyaan
dan ini tak akan berhenti
hari ini atau besok. Cuma
tanyaku tak mungkin masuk
dalam Soal Jawabmu.

Diam dan melihatmu
tapi sekalipun aku bukan orang
bergaji, hanya aku melihat
dan melihatmu di jalan-jalan
kotaraya pada siang Ra Ra
atau pada malam cengkerik.

Kau mungkin tak mengenalku
tapi, aku tetap mengenal
dirimu, skandal dan seleramu.

Sebenarnya kau dan aku
saling terkait. Kerana kau
adalah Wakil Rakyat di siang Ra
Ra. Sedang aku orang kecil
Suaraku adalah suara
kebanyakan, tak sanggup kalau
hati nuraninya tercuka.

Jangan kau tanya alamat
atau buku bank memang
aku tak punya.
Selama ini aku dan kau
saling terkait. Tak perlu kita
bimbang satu sama lain. Padamu
kebimbangan dan prasangka
akan menyuka hubungan kita.

Kota Kinabalu
2 Ogos 2013

*Dikirimkan kepada Qomaruddin Asa'ada untuk projek bertemakan Wakil Rakyat.