Saturday 4 July 2015

Khemah Ramadan*

Kau dakap Ramadan sekalipun
terdampar di tanah sengketa
bila akan berakhir kemelut ini
siang telanjang malam panjang.

Hawa panasmu tak mengendurkan
niat bersih meraih-Mu Ramadan
apapun kalbu ini telah nekad
tak akan berubah kerana kemiskinan.

Di khemah ini kami membaca samawi
ribut datang  dalam suasana perang
di tanah peribumi ini kami melarat
pembunuhan dan kekejaman tak bermata.

Maut seperti helang menyambar mangsa
kami bernafas dalam udara jerebu tebal
gema suaramu tertahan pada kerongkong
kau masih bisa tersenyum dan berdoa.

Salam pada saudaraku di tanah jauh
segala derita yang ditusuk ke dadamu
tak akan kami lupa padamu dalam doa
kesakitanmu itu tak bersempadan.

Tuhan Rahman menghulurkan tangan
kasih-sayang-Nya tak ada batas
Ramadan Al Mubarak membawa hujan
melepaskanmu dari musim kemarau panjang.




No comments:

Post a Comment