Wednesday, 20 August 2014

Tanah Syria* (Syria)(Boat People)

Kau masih tak melihat walaupun telah
berapa kali kau diperingatkan
tapi, kau masih tak peduli.

Kau masih lalai
mereka memasang empat penjuru
perangkap di kotamu
sebentar lagi langitmu
dicerobohi
tapi kau masih tidur di siang  hari.

Sengketa dua saudara
tak ada sempadan dan nokta
keadilan, barang murah dan
bualan kosong.

Yang lain hanya
memandang dengan mata kosong
dan tak berganjak membuat keputusan.

Keadilan telah lenyap
kemusnahan di bumimu
maut berguguran
keamanan, sekelip cahaya
telah menjauh.

Peperangan adalah wabak silam
meragut penghuninya
Mengapa PBB diam dan
kehilangan suaranya sendiri.
Bangsa Arab, kamu tak berbuat
dan membiar orang lain
menyibuk di negaramu sendiri.

Malam gerun telah berlabuh
di tanah Suria,
mendungnya telah berarak
ke tanah Asia.
Peperangan ini
seperti api menjalar
melewati sempadan.

Sekalipun ruang kecil
tapi, pintu keamanan dibuka
bergegaslah ke sana
dan mencari keadilan dari
runtuhan tembuk dan mayat
dan debu kota yang hancur.