Tuesday, 26 August 2014

Kemurahan Bangsaku (Palestine)

Kemurahan Bangsaku,
ketika bom jatuh di tanah Palestine
sukmanya tersentuh parah.

Ketika masjid dan menara
ranap tinggal puing
kau bersedih dan makan tak lalu.

Berhari-hari air matamu
mengalir dan tak berhenti
kau menangis sendiri
sambil bolak-balik surat khabar.

Dalam perbualan
bila menyebut keganasan
Zionis
kemarahanmu tak dapat dibendung.

Sukmamu bagai tersayat-sayat
menatap foto-foto bayi dan
wanita terkorban mangsa tentera
dan kapal terbang Israel.

Kau melihat tak ada petanda hujan
akan turun
ketika malam, bulan seperti air batu
tak membawa perubahan musim.

Keadilan telah hangus
seakan tak ada dapat menyelamatkan
Kedamaian
mimpi manis yang tak menetas.

Kemurahan Bangsaku,
tak akan bertukar warna dan  pacak
tak akan bergendang mengikut rentakmu.