Wednesday 6 August 2014

Azam Dan Tekad * (Merdeka)

Wahai Adekku Sayang,
Di lapangan hidup ini  tiap orang
ada peluang untuk meraih kejayaan
tapi, kau harus siap bertungkus-lumus
tiap perjuangan mesti ada pengorbanan.

Tiap usaha atau apa saja kita lakukan
harus dimulai dengan membaca doa
kerana doa mendorong dan membulatkan tekad
membawa kita ke tangga kejayaan cemerlang.

Jangan sekali berputus asa
apa lagi patah semangat
kerana  dalam mengejar cita-cita
jiwa kita selalu tabah dan sabar.

Dalam kita berlumba-lumba
meraih kemenangan diingatkan
tak ada jalan pendek atau memintas
usaha dilakukan dengan azam dan displin.

Wahai Adekku Sayang,
di langit siang yang terbentang luas
di langit malam bergemerlapan bintang-bintang
kau boleh bermimpi bulan purnama penuh
dan memilikinya asalkan kau yakin.

Allah telah berfirman
tak akan mengubah diri atau bangsa itu
kecuali ia berusaha keras menukar hidupnya
oleh itu kau harus tekun dan displin dalam belajar.

Biar cita-citamu tinggi, setinggi gunung Kinabalu
seluas langit biru dan sedalam lautan
melangkahlah dalam restu ayah dan ibu
berlindung pada Allah dalam duka dan gembira.

Pasti kau akan berhasil dan berjaya
Pasti kau akan meraih kemenangan
Pasti kau akan mencapai cita-citamu
Pasti kau akan menjadi hero bagi bangsamu.

*Hari ini akan dibacakan sebagai Acara Motivasi di hadapan anak-anak sekolah.





No comments:

Post a Comment