Saturday, 30 August 2014

Bertukar Wajah* (Palestine)

Kau telah mendengar kejahatan luar biasa
pernah dilakukan di tanah bumi ini
tak akan terucapkan apa lagi melukiskan
kezaliman itu, belum ada perubahan
kilat mata dan degup jantung ketika melepaskan
das tembakan atau menyembelih mangsanya.

Seperti luruhnya daun di musim gugur
berhamparan di lantai peribumi tanpa
upacara dan selamat jalan.

Ketika aku membaca sejarah silam
kaulah bangsa biadap
meratakan penduduk peribumi
korban berjatuhan dan celaka berkurun.

Roda waktu bergolek
dulu, kau adalah bangsa yang kalah
kini bertukar wajah berdastar
bangsa yang besar
dan nasib bangsa-bangsa lain
dalam genggamanmu.

Keadilan terlucut dari tangan ke tangan
dan tersorok di pojokan mimbar
kezaliman membawa malam panjang
menggurung musim bunga.

Kegilaanmu semakin berani
menata langit dan bumi
biuh-buih darah belum kering
kezaliman terus mengheret
mencari mangsa yang terakhir.