Tuesday 8 July 2014

Selepas Sungkai Ramadan

Sendiri menaksir gerak jarum jam dinding
pintu malam terbuka luas
kegelapan meminggir memberi laluan
pada cahaya.

Aku bukan pelari yang anggun
tapi, lambat-laun aku tiba di garis terakhir.

Malam telah berangkat dari
sukma
siang akan datang
dengan cahaya
setelah siang pergi
ia akan tinggal sampai kiamat
gelap yang berkepak
tak akan hinggap
di dahan sukma.

Kau telah baiat
di tangan samawi
dan sesudah ini kau tak akan pergi
sebagai petualang atau penderhaka
cahaya penuh purnama
kebenaran di tanah pribumi.

Pohon mangga yang tumbang
buahnya manis dan membuka selera
kerana tangan yang menanam biji semalam
telah berniat sesiapapun boleh
mengecap buahnya.

Menatap bulan Ramadan
dari jendela sukma
tiap malam mendatang
kau terus berkembang
dan mengirimkan cahayamu
kepada yang mendambakan.






No comments:

Post a Comment