Thursday 24 July 2014

E-mail kepada Benjamin Netanyahu (Palestine)

Retorikmu makin lancang membocor langit
dan menguak bumi Palestine.
Aku melihatmu seperti gergasi
haus darah dan daging Arab Palestine.

Apa yang terjadi padamu
kau seperti orang gila perang
bercakap-cakap sendiri
dan mengeryik mata merahmu
kerana kurang tidur.

Gema suaramu
menembak langit
dan merata-rata
semua yang kau lihat
adalah musuh dan petualang
yang perlu disergap dan dibunuh.

Seperti Don Quixote
mata Netanyahu penuh curiga
melihat tali seluar dalamnya
disangka ular lalu menembak bertubi-tubi.

Ke mana Netanyahu melihat
wajahnya di depan cermin ciptaan sendiri
seperti Nero, cuma yang dibakarnya
adalah Tanah Palestine.

Netanyahu kini menjadi Nimrod
dengan baju jaketnya
mendirikan menara
dan menuding Tuhan di puncaknya.

Celaka
Jahanam, Netanyahu
Ketika ia menghadap matari barat
ia adalah Dr Jerkll
di Tanah Palestine
ia adalah Mr Hyde.

Sekarang malam bulan purnama
Netanyahu akan melebarkan kepaknya
sebagai Daracula yang mencari mangsanya.

Dunia tak akan mendengar hujahmu
kau tetap ular yang bertukar kulit
Tiada satu bangsa yang unggul
dari yang lain
Berhentilah, membunuh rakyat awam
Tidakkah kau, dengar anak-anak
dan ibu mengerang kesakitan
di runtuhan  dan timbusan rumah
dan bangunan.

Orang Palestine seperti anak-anak Yahudi
tak ingin perang berterusan sampai kiamat
cukup, cukup darah yang mengalir
dari tengkorak bayi dan rakyat Palestine.

Dunia telah begitu cepat
usah biarkan tangan angkuh
memusnahkan perabadan dan kemajuan
warga bangsa Palestine
Sekali Netanyahu berhasil
ia akan mengosongkan Palestine selama-lamanya.

Di antara Bangsa Yahudi, ada
yang cinta pada keamanan dan kedamaian
mereka bangun menentang dan memprotes
tapi bilanganmu terlalu kecil
untuk menahan dendam kesumat Netanyahu.

Kemenangan tak akan bertahan lama
ketika dilakukan dengan kekerasan dan kekejaman
Suatu bangsa tak akan dapat dihapuskan
kerana dalam sukma bangsa Palestine
telah nekad mimpi mereka akan sempurna.
Ke mana pun mereka pergi
Kemerdekaan dan pelepasan Tanah Palestine
dari belenggu akan sempurna.

Bahasa dendammu Netanyahu, sekali terucap
akan menjadi catatan zaman sepanjang hayat
kau telah diperingatkan,
kezalimanmu telah jauh di dalam gaung gelap
kau telah membawahkan
kemanusiaan di tanah longkang.

Kata-katamu, Netanyahu seperti orang tak beradap
tindakanmu seperti orang gila
berhenti, kerana pertukaran angin
beralih datang sebagai Tsunami padamu.

Maut yang kau kerah
tak selamanya tanpa perlawanan
samawi akan berubah
kau adalah saksi mata
kata-kata ini akan sempurna
kerana bahasanya adalah
bahasa Kasih-Sayang
ketika kau mendengar sukmamu luluh.

Netanyahu, bagaimana kau dapat tidur
sedang tetanggamu dalam sakit tenat
seteguk air menghilangkan dahaga
tapi, api amarahmu tak akan menukar
arah angin bertiup.

Benjamin Netanyahu,
berhenti sebagai penganas
berhenti sebagai pembunuh
berhenti sebagai pendendam.

Aku dapat membaca
mata dan sukmamu.
Yang jelas, Netanyahu,
raksaasa yang kau ciptakan
akan memakan tuannya sendiri.

Dalam urutan waktu
Kembali kepada kedamaian
kemerdekaan Tanah Palestine
Keamanan Timur Tengah
Keselamatan Manusia Sejagat
menjauhkan azab menjadi sempurna.

Ketenteraman hanya ketika
Kupanggil nama-Mu
Tuhan Rabbiul Alamen
kerana kepada-Mu
aku dan kau akan kembali.






No comments:

Post a Comment