Wednesday 9 July 2014

Ibu Palestine* (UB) (Palestine)(Terbit)

Kamu masih terus mengasak
seperti orang termakan dadah sabu.
Anak-anakmu bergelimpangan
seperti batu dingin dan tak bergerak

Kekerasan dan penderaan kamu
tak akan merubah samawi dan
destinasi Tanah Palestine.

Langit sejagat mencium dahimu
yang mogel
Pulanglah kau sayang
ke langit kejora dan pintu samawi
telah terbuka.

Ummi tak pernah ingin kau disakiti
dan kau adalah anak Palestine
yang lahir untuk perjuangan.
Suamiku, kau juga dilahirkan
dari rahim seorang ibu
menggenggam Tanah Palestine
lalu berkata padamu
Mereka tak akan dapat
melumpuhkan jiwa wiramu
seorang Palestine dan Muslim.

Kamu telah merampas langit
dan menembak bintang-bintang kecil
dan mengembur  tanah  pohon zaitun
tempatmu bermain.

Bangsa apa itu
membunuh anak dan kaum ibu
di siang  dan malam majnun.

Kamu ingin menguburkan Palestine
Tanah Turun-temurun,
di sini, Kekasih-Mu pernah bersamamu
Cintamu tak luntur sampai Kiamat.

Aku seperti dirimu, Palestine sayang
Kau tak akan dapat mematahkan
tulang belakang Palestine
kejantanan dan impian perjuangan.
Ketika kamu menyangka telah berhasil
ibu Palestine terus melahirkan
anak-anak perjuang dari rahim Palestine
demi persiapan esok.

Dan akan berkata, sekarang dan esok
adalah waktu kami
Generasi silih berganti
Kerana perjuangan ini  hidup
dalam mimpi dan impian.

Ketika waktu yang ditunggu itu tiba
Kamu tak akan dapat menidakkan
Tanah Palestine telah merdeka
merdeka, merdeka,
lepas dari belenggu serakah Zionis.

*Tersiar Di Utusan Borneo 3 Julai 2014

No comments:

Post a Comment