Thursday 10 April 2014

Orang Tak Berbangsa* (Suasana)

Sedang minum kopi di pinggir kota
datang seorang ibu tua
senyum dan sopan.

Sebelum ini tak pernah berjumpa
apa lagi dalam mimpi purnama.

Ia memberi salam dan pergi
aku membalas dan ingin
berbual
tapi, dalam keramaian itu ia
hilang.

Suara itu menyampaikan
salam kedamaian
dan lebih dari itu
sebuah doa tulus mengalir
dari sukma ke bola mata.

Kini kau sedang berdiri
di tengah traffik
orang-orang berduyun-duyun
tanpa wajah mencari suaka.

Ke mana pun kau melarat
di belahan dan pelosok bumi
sesat di tanah asing atau
kepulauan atol
kau tak akan hanyut dan tenggelam
ke dasar lautan atau mati lemas
sebagai orang tak berbangsa.

Harimu penuh ketakutan
kau kini sebuah nombor
penungguan tak berakhir
Mimpi-mimpimu telah kau bina
atas keyakinan.

Di tanah peduli ini
kau berhenti berteduh
esok, kau memakai kasut
lalu bercerita untuk menyakinkan

Kau tak pasti di tanah pelangi
kau akan berehat
di atas lidah gelombang laut
di pulau atol tak kesampaian
di pelabuhan sepi yang ditinggalkan
di Pusat Penahanan pengungsi tak berbumbung.

Kepadamu,
ceritamu tak akan berhenti di sini
dan kau terus bercerita
sekalipun mereka tak ingin mendengar
Kekasihmu telah menutup telinga
kusambut salammu kerana
kita saudara sejagat.

10 April 2014









No comments:

Post a Comment