Monday 2 April 2012

Wahai! Saudaraku, 11* (Metamorposis)

Wahai! saudaraku,
kita telah menerpa jauh
sesekali menoleh
menundukkan mata
supaya mendengar lagi.

Aduhai! luka-luka terhiris
pada bulan pudar kesiangan
bukankah tiap hati
tiap resah gelisah
telah diberi peringatan.

Wahai! saudaraku,
mau ke mana selepas ini?
gencar menerobos cekrawala
menggali pusar bumi!

Di malam bistari
kau bisikan ke telingaku
'belum tumbuh gigi
sudah pandai baca kitab.'

Wahai! saudaraku,
beri aku kepatuhan Ismail
menggenapkan mimpi Ibrahim
beri aku kekuatan Yusuf
ketika aku menerobos
ke dalam kelam malam.

Berilah aku nekad Musa
biar lidahku lincah
mematahkan tipu-helah Firaun
beri aku kesabaran Isa berdoa
di taman Getsemeni.
beri aku sekelumit
sentuhan jiwa agung,
Kekasih-Mu, Muhammad.

Wahai! saudaraku,
kata-kata lebur
gelombang nafas kendur.

Wahai! saudaraku,
biarkan aku lelapkan mata
mengenangkanMu.

Honiara.
4 April 2012

No comments:

Post a Comment