Tuesday 7 October 2014

Nenek dan Kampung Warisan*(AMNS)

Kampung ini telah lama ditinggalkan
Hutan belukar menutupi padi huma
Air sungai telah mengalir jauh
Pohon-pohon getah tua tumbang sendiri.

Kau pun tak pernah bertanya, dulu
Pernah ada sebuah kampung yang riuh
Penghuninya akan turun menoreh getah
Berpadi huma di lereng-lereng bukit.

Pada keratan tanah dan lereng bukit
Hutanmu penuh cerita warisan
Di halaman kampung rumpun bambu
Bernyanyi lagu rindu anak perantau.

Malam hari nenek duduk bercerita
Sambil mengunyah sireh pinang
Tentang anak sayangkan ibu
Legenda Karuhai turun-temurun.

Tiap jalan ke bukit ke hutan jati
Ketuk Kulingtangan wanita bertakiding
Ada grafiti peninggalan leluhur
Rimba di sini tak pernah sunyi.

Tapi, tanah payah itu telah lama liat
Anak pelanduk berhijrah ke hutan jiran
Rimbamu kini sepi dari kicau burung
telah menjauh beberapa musim lalu.

Di penjuru nenek mengunyah kelupis
Berbual sendiri sampai jauh malam
Memanggil-manggil nama Karuhai
Pandangannya larut bersama malam.

Tanah Warisan Kampung Lama tinggal nama
Gema suara nenek telah lama hilang
Kapok sepohon di hujung kampung
Tumbang dibawa banjir ke muara.


*Karuhai- Cerita rakyat suku Kedayan Berunai. Anak kasih pada Ibu.
*Bakul Takiding- bakul belakang membawa sayur atau pelbagai
*Kelupis-kuih pulut beras seperti lemang, cuma direbus.
*Kulingtangan- seperti gamelan, dimainkan suku Kedaya Berunai, Dusun, Murut di Sabah.

No comments:

Post a Comment