Tuesday, 18 June 2013

Derma Darah**(UB)(ALBDSM)

Bacalah puisi biar kami mendengar
aku melihat orang berdatangan dari pintu
lalu berpergian entah ke mana. Masihkah
kau ingin aku membaca puisi ini, meskipun
mereka memandang sekilas tanpa berhenti.

Aku mulai membaca puisi, tenang seperti
sentuhan gerimis ke dalam sukmamu. Kata
demi kata dilafazkan, suara orang kecil
membawa amanat kecil, bergema di dalam
plaza. Sesekali meninggi dan menurun dan
mencari tempat untuk hinggap.

Puisi telah dibaca entah yang ke berapa
kerut dahimu mencuba-cuba memahami
tiap kata yang melayang. Langitmu tak
mengharapkan gumpalan mendung atau
cahaya rembulan. Aku baca puisi dan
kau terpanggil.

Kota Kinabalu
17 Jun 2013
*Disiarkan dalam akhbar Utusan Borneo, 30 Jun 2013
*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013