Tuesday 28 August 2012

Nusantara (Boat People)


Masa silam itu telah tenggelam ke dasar lautan
Pulau Bidung, bualan terserempak dan sindiran
Lautan China Selatan, Lautan Pasifik atau laut
Afrika, jalan masuk ke benua Southern Cross
dan Eropah raya memburu impian dunia baru.
Ketika orang politik berhujah, mengirim armada
dan menembak tepat ke jantung pendatang malam.
Tiap hari mereka bergembar-gembor menabur
benci menjolok kedamaian langit dan samudera
lautan. Datang berita di lautan akan didirikan
rumah kaca, Pusat Penahanan baru, kerana perang
masih, regim diktator bergayut pada dahan dan
tanah sejengkal di hari-hari terakhir. Malam makin
panjang, Nusantara, pintu-pintu masuk ke benua
baru. Kau telah diberinama Pendatang haram,
Boat People, pendatang malam tanpa dokumen.
Ketika taufan lautan menenggelamkanmu, biru
laut menjadi kain kafanmu. Kau tumbuh sebagai
bunga Carol. Nusantara menjadi tebingmu berpaut.


Canberra
Ogos, 2012



No comments:

Post a Comment