Thursday 16 August 2012

Aid Mubarak 2012, Mesapol (Ramadan)


Mesapol, aku berdiri di halamanmu
mentari Eidil Fitri terpencar
di atas bukit, jalan ke Weston.
Ramah alam: ‘Id Mubarak
hutan sekeliling berhias
hijau berkilat keemasan
burung terbang sekawan
lagu raya berkumandang
pokok getah cuti berkemas.
Sejak beberapa hari dapur
berasap memasak kelupis
tiap malam kunang-kunang
tersangkut di dahan-dahan
menjadi tanglung-tanglung
menerangi malam Lailatul Qadar.
Harum bunga kenanga dan melati
dalam udara menyerap ke dalam
sukma di malam-malam tarawi
Mesapol berdandan dan berinai
malam itu, sungaimu mengalir
membawa salam ke setiap pintu
rembulan dalam mimpimu.
Di sini aku masih mendengar
suara-suaramu yang hinggap
di anak bulan dan panggilanmu
titis madu di hujung lidah
sesekali kau menyebut nama
aku mendarahi lidahku.

Honiara
17 Ogos, 2012

No comments:

Post a Comment