Monday 29 February 2016

Melindungi Keindahan Alammu* (Cemar)

Di zaman ini aku menjadi saksi kehebatan perabadan
kau menjelajah sampai jauh ke orbit dan galaksi baru
tiap kejayaan kita meniup terompet dan tepuk tangan
walaupun di bumi peribumi dan lautan masih terhukum.

Bukankah tragik sekiranya terjadi di depan matamu
di alaf 21, kita mendengar berita yang menyayatkan
rimba raya telah musnah dan lautanmu telah tercemar
udaramu kotor tak terkawal kerana serakah kita sendiri.

Jalan pulangmu langit penuh penyesalan bumi meratap
sungai-sungai dikerat seribu mengalir dalam kepedihan
keramaian rimba telah sunyi dan tanahmu menjadi pasir
burung-burung meninggalkan sarangnya ke negeri jauh.

Satu siang kau dikejutkan dunia mendekati perang nuklear
hewan peribumi dan lautan pupus tak dapat diselamatkan
gerhana gemuruh di langit gempa di bumi taufan di lautan
ketenteramanmu tergangu mimpi jadi igau di siang hari.

Ya Rabbi, anugerah kurnia-Mu telah kami tak ambil peduli
keindahan bumi-Mu tercemar pembakaran haram rimba jati
toksit telah menyerap dalam hidupmu sampai urat serambi
kau meratap, melaung sekuatnya "Hentikan Kezaliman ini."

Aku sayang bumi kelahiran, hadiah dari Tuhan Rahman
samawi mengirim pelangi, musim semi  kembang bunga
Gazelku, melompat setinggi gunung carilah lembah hijau
Kuda semberani berlarilah sepantas kilat di bumi tercinta.

Bumi kesayangan, satu-satunya warisan harus diselamatkan
dari tangan-tangan kegelapan yang tak peduli yang terkurung
terus bermain api dan perangkap samar dan nafsi amarahnya
melindungi keindahanmu adalah perjuangan sampai kiamat.




No comments:

Post a Comment