Friday 26 February 2016

Istighafar (Ketuhanan)*

Angin bertiup kencang meranapkan pepohonan kalbumu
malammu seperti tanah terbongkar dari badai durjana itu
suaramu telah terbawa angin sampai ke khutub selatan
kedamaian hujan petang turun dengan rela ke sungaimu.

Sepi menusukmu seperti panah-panas terlepas dari busur
langit tak berubah cuma kehilangan burung-burung terbang
kau harus berlindung di langitmu dari mendung tebal
musim akan bertukar kau tak akan dapat menahannya.

Petanda apa yang membawa isyarat pada perubahan alam
lalu terkumpul huruf-huruf kata turun dengan kekuatan
akan menumpaskan kekerasan sampai tersungkur di bumi
kau telah berulang memberi amaran padanya terbuka.

Tapi kasih sayang masih pada tangan cinta kedamaian
pada kalbu yang tersimpan derhaka dan dendam kesumat
tak akan berkompromi dan menerima hakikat kekalahan
kerana kekerasan hanya menghidup api peperangan panjang.

Ya Rabbi, tenteraman jiwamu merangkum seluas langit
tiap perjuangan yang membawa ishla tanpa melukaimu
akan terus dijagai oleh samawi tanpa pengkiraan waktu
kau tak akan menuntut bukan hakmu menjadi punyamu.

Kemenangan padamu yang bertahan dan tak berganjak
sekalipun gunung berapi melepaskan lahar asap belerang
kau telah selamat ujian-ujian lautan dan gunung bertahan
istighafar terucap dari jiwa istiqamah ketal akan berjaya.










No comments:

Post a Comment