Tuesday 9 April 2019

Metamorfosis Perjuangan Sebuah Kalbu

Tulislah seperti dawat tintamu tak pernah habis
dan kertas tulismu masih belum tertulis noktah
samawi tak pernah berhenti menurunkan hujan semi
tamanmu senantiasa hijau dan kembang bunga
gema suaramu mengelus  dinding dan pintu kalbu
kasih dan rindumu seperti udara pagi pergunungan
kepulangan musafir yang tiba di hujung senja
seribu malam kekasih melafazkan salam dan selawat
metamorfosis hayat dan pengorbanan kalbu seorang mutaki
kau bina sempadan dalam takaran waktu
jika tersirat ini dikatakan majnun dan perjuangan ini
purnama penuh dan lautan damai pasrah pada-Mu
kata-kata dan tindakan telah menjadi bintang-bintang khalis
dalam sunyi malam engkau adalah khadim yang itaat 
dan menurut perintah dan siap dengan kuda semberanimu
ke manapun sampai ke hujung negeri entah beranta
kenyangan dan orbit mana yang belum didatangi
Aduhai kekasihku, berita itu telah disampaikan
engkau telah membaca testimoni dan metamorfosis kalbu ini
jika masih menduga dan menuduh dan tidak membaca
isyarat gerhana pada bulan dan matahari adalah satu
kerugian dan melawan arus kebenaran kerana 
tidakkah engkau sedar yang engkau adalah daun-daun kering
yang jatuh terjunam dan berakhir tanpa musim
Ayuh! kilas cahaya di menara putih dan kegelapan adalah 
petualang-petualang yang kalah di medan.
kita adalah metamorfosis suatu perjuangan pada siang majnun
malam-malammu seperti air terjun mengalir tak berhenti.

Sabahuddin Senin
Kota Marudu
8 April 2019



No comments:

Post a Comment